Para guru SMK Air Merah diraikan dengan meriah sekali pada 16 Mei yang lalu. Sambutan Hari Guru ini dirancang dan dilaksanakan oleh Lembaga Pengawas SMK Air Merah dengan jayanya. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk semua guru yang didahului oleh Tuan Pengetua, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan HEM, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Guru-guru Kanan dan seterusnya guru-guru lain. Perarakan masuk itu diiringi dengan paluan kompang yang sungguh meriah.
Sejurus selepas para guru mengambil tempat, nyanyian lagu Negaraku diadakan dan diikuti dengan ucapan aluan pengerusi majlis. Selepas bacaan doa, wakil pelajar memberikan sedikit ucapan menghargai sumbangan guru. Kemudian, Tuan Pengetua membacakan perutusan KPP Malaysia dan diikuti dengan ucapan Pengetua sendiri. Antara lain, beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pengawas atas usaha dan komitmen mereka menjayakan majlis ini. Beliau juga berpesan kepada para pelajar untuk teruskan usaha menimba ilmu sebanyak mungkin dan menghargai, menghormati dan membanggai guru. Kepada para guru pula, Tuan Pengetua menyeru mereka supaya teruskan perjuangan menunaikan amanah untuk mendidik anak bangsa tanpa mengenal putus asa kerana jatuh bangunnya modal insan dan maju mundurnya negara terletak di tangan para guru.
Selepas itu, para guru mengambil tempat di atas pentas dan melaungkan ikrar guru. Selepas bacaan ikrar, para guru menyanyikan lagu "Kami Guru Malaysia" dan "Biarku Menjadi Lilin" secara koir dengan mendapat tepukan gemuruh dari para pelajar.
Penyampaian hadiah hari guru berlangsung selepas itu yang berakhir dengan penganugerahan Tokoh Guru SMKAM 2011 kepada Tuan Pengetua, Hajah Rusiah bt Nasruddin yang disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Pentadbiran Puan Hajah Norhashimah bt Che Meh. Selepas itu, tetamu kehormat, YDP PIBG SMKAM Tuan Hj Abdullah b. Hashim diiringi oleh Tuan Pengetua dan Penolong Kanan Pentadbiran ke pentas untuk upacara memotong kek.
Aktiviti sukaneka berlangsung pada jam 9.00 pagi. Acara sukaneka terdiri dari Futsal, Bowling Kampung, Sepak Raga Bulat, Sambutan Kasih, Bahasa Isyarat dan Musical Chair. Sambutan Hari Guru ini bersambung dengan persembahan pelajar di dewan terbuka pada jam 11.00 pagi. Persembahan pelajar terdiri dari nyanyian, nasyid, tarian dan lakonan. Selain daripada itu, jualan poskad, air minuman, bunga, permintaan lagu dan cup cake juga dijalankan.
Majlis bersurai pada jam 1.30 ptg.
TERIMA KASIH KEPADA PARA PENGAWAS DAN ANAK-ANAK PELAJAR ATAS USAHA ANDA MERAIKAN PARA GURU SMKAM!!!
No comments:
Post a Comment